Perjalanan Menghargai Filem

 

Perjalanan Menghargai Filem

Oleh: Najmi Selamat

            Secara tidak sedar saya sudah mula menikmati menonton filem sejak kecil lagi. Ketika masih di sekolah rendah saya sering menungu di hadapan kaca TV pada waktu malam untuk menonton tayangan filem-filem P. Ramlee yang pada ketika itu selalu ditayangkan di saluran TV2. Saya amat tertarik dengan jenaka dan lagu-lagu yang dipamerkan/dipermainkan dalam filem-filem P. Ramlee. Antara filem P. Ramlee yang sering saya tonton ketika itu ialah filem-filem komedi beliau seperti Bujang lapok, Seniman Bujang lapok, Pendekar Bujang lapok, siri filem Do Re Mi, Tiga Abdul dan Ahmad Albab. Seingat saya, Ahmad Albab adalah filem P. Ramlee yang paling banyak saya ulang tonton. Mungkin kerana – pada hemat saya – tajuk filem tersebut begitu memanggil. Saya juga suka akan lagu-lagu yang dimainkan dalam filem-filem P. Ramlee.

            Di sekolah menengah, kehidupan saya seputar dunia seni atau filem tidaklah begitu rancak lebih-lebih lagi saya dimasukkan oleh ibu bapa ke sekolah menengah agama berasrama. Ketika itu itu saya lebih banyak menumpukan fokus terhadap pembelajaran di sekolah dan peluang untuk menonton televisyen tidaklah banyak. Pada zaman persekolahan, minat/pengetahuan saya terhadap dunia filem dan seni masih lagi stagnant di tempat yang sebelumnya. Hanya ketika saya beranjak ke tingkatan lima barulah minat terhadap filem dan seni mula berkembang kerana terpengaruh dengan saranan kakak saya untuk cuba mula menonton K-Drama. Sememangnya sebelum itu saya pernah menonton sebuah K-Drama bertajuk I Hear Your Voice (pada hemat saya drama yang bagus) namun tidak pernah terpanggil untuk meneroka alam tersebut.

            Saranan kakak saya tersebut telah membuatkan saya terjebak dalam dunia K-Drama yang penuh warna warni. Sejak itu, saya banyak menghabiskan waktu cuti sekolah saya untuk menonton K-Drama dan menikmati dunia KPOP. Ketika masuk ke tingkatan enam minat  saya terhadap K-drama semakin rancak dan saya mula banyak menonton K-Drama di platform online seperti di aplikasi VIU, IQIYI, IFLIX dan di website-website (pirate). Ketika di penghujung tingkatan enam saya sudah menonton lebih 150 judul drama dan masih lagi berterusan sehingga sekarang walau tidaklah serancak dulu. Namun, pada ketika itu minat saya lebih berdasarkan perasaan mononton semata-mata dan masih lagi kurang pengetahuan terhadap ilmu filem seperti screen play, cinematography, music score, film language, acting dan sebagainya.

            Kesedaran untuk mula mendalami atau mengetahui ilmu dalam dunia filem ini  muncul dalam diri saya apabila saya menonton filem Parasite (2019) dari Korea Selatan yang pada ketika itu sangat banyak diperkatakan dan diperbincangkan oleh masyarakat dunia. Pada mulanya (sebagai penonton casual) saya tidak dapat memahami apakah yang membuatkan filem itu begitu signifikan dan sangat banyak dipuji oleh orang ramai. Tanggapan saya pada ketika itu (kerana naif) mengatakan bahawa K-Drama yang telah saya tonton mempunyai cerita yang lebih bagus berbanding filem tersebut. Berdasarkan rasa ingin tahu, kemudiannya saya mencari perbahasan atau perbincangan tentang filem berkenaan di laman Youtube. Ternyata pengalaman tersebut telah memberikan idea baru terhadap pengetahuan saya tentang dunia filem dan ilmunya yang lebih luas. Kemudiannya, saya mula tertarik untuk meneroka filem-filem dari Korea Selatan.

            Ternyata keputusan saya untuk meneroka filem-filem Korea Selatan banyak membantu saya untuk mengembangkan pengetahuan saya dalam dunia filem. Hal ini kerana sepanjang perjalanan tersebut saya mula banyak membaca dan menonton perbahasan berkenaan filem-filem yang telah saya tonton terutamanya filem yang sangat berkesan buat saya. Antara filem dari Korea Selatan yang menjadi kegemaran saya adalah Going by The Book (2007), Castaway on The Moon (2009), Slow Video (2014), Microhabitat (2018), Welcome to Dongmakgol (2005 dan lain-lain lagi. Di samping itu, saya juga mula berminat untuk menonton K-Drama yang sedikit berbeza rentaknya berbanding tontonan saya sebelumnya. Antara yang saya sangat minati ialah Misaeng (2014), Lost (2021), Recipe for Farewell (2022), My Mister (2018), dan Be Melodramatic (2019). Judul-Judul ini hanyalah sebahagian daripada filem-filem dan drama Korean selatan yang saya telah tonton dan minati.

            Penerokaan saya kemudian beralih arah pula kepada dunia filem/cinema Jepun. Pertemuan saya dengan dunia filem Jepun ini ketika saya mula banyak menjejakkan kaki ke pawagam untuk menonton filem. Ketika itu sedang berlangsungnya Japanese Film Festival di GSC Midvalley yang diselenggara oleh Japan Foundation. Festival filem tahunan yang dianjurkan oleh japan Foundation tersebut merupakan salah satu usaha mereka untuk memperkenalkan kekayaan budaya Jepun ke serata dunia. Japan foundation juga ada menganjurkan festival filem ini secara atas talian dengan berbagai fokus dan tema. Contohnya pada tahun 2023, fokusnya lebih kepada tanyangan filem-filem indie mereka. Melalui penganjuran secara atas talian inilah akhirnya telah membuatkan saya lebih ketagih akan cinema Jepun. Ketagihan saya ini dirancakkan lagi apabila Japan Foundation telah mencipta laman sesawang khusus iaitu JFF Theatre sebagai usaha untuk memperkenalkan kepada masyarakat dunia terhadap cinema Jepun dengan menayangkan filem-filem ikonik dari Jepun (filem-filem yang dimainkan diganti setiap beberapa bulan sekali).

            Rasa ingin tahu saya kemudiannya membawa saya kepada dunia cinema tempatan (Malaysia) itu sendiri. Kini saya semakin banyak menonton filem-filem tempatan di pawagam. Namun, untuk menyaksikan filem-filem  tempatan di pawagam yang mempunyai nilai (substance) yang jelas pada masa kini amatlah jarang berlaku. FIlem tempatan kita masih lagi tersekat dalam usaha untuk mencari bahasa atau identitinya yang tersendiri. Cinema tempatan kita masih lagi dipisahkan dengan gelaran filem Melayu, filem Cina dan filem India (Tamil). Oleh itu, penting bagi saya untuk industri perfileman tempatan meneliti dan mencontohi bagaimana industri filem seperti di Korea Selatan dan Jepun mempersembahkan identitinya yang jelas dalam filem-filem mereka walaupun berlainan genre.

            Namun, dengan kata “mencontohi” tidak bermakna pembikin filem kita perlu mencontohi semua perkara sehingga mengabaikan nilai moral tempatan atau Islam bagi pembikin filem yang beragama Islam. Misalnya, hal-hal berkaitan carutan (walau kadang perlu), penunjukan babak seksual atau sensual dan sebagainya yang tidak wajar. Walaupun filem-filem kegemaran saya terkadang mempunyai unsur-unsur sebegitu, sebagai seorang Islam saya tidak pernah menghargai unsur-unsur sebegitu di dalam sesebuah filem walau apapun alasannya.

            Pada hemat saya, filem yang baik ialah filem yang mampu merangsang perasaan penonton dan mampu memberi ruang kepada penonton untuk berfikir. Sama ada berfikir tentang diri sendiri, tentang masyarakat mahupun tentang filem itu sendiri. Filem yang baik dan filem yang buruk itu akan sentiasa ada namun yang menentukan sama ada filem itu baik atau buruk itu bergantung kepada “idea” individu/penonton itu sendiri.

Ulasan

Catatan Popular