01: Malam Kertas Perdagangan.

   

    “Keluar dorm sekarang! Semua form 5 keluar dorm sekarang!”. Lewat malam itu aku terjaga dari lena akibat daripada jeritan kuat yang tidak berperikemanusiaan itu. Ketika aku masih lagi dalam keadaan mamai di atas katil orang itu menjerit -atau sebenarnya menengking- lagi tetapi kali ini jeritan itu ditujukan khas kepada aku yang sedang terpinga-pinga dengan keadaan yang berlaku. Dengan muka yang bengis orang itu menengking “Kamu jangan buat-buat tidur ya! Keluar cepat!” sambil merotan aku -yang aku tidak faham kenapa- dengan kuat tanpa belas kasihan.

    Aku dan rakan-rakan sama tingkatanku yang lain diarahkan untuk berkumpul di tapak perhimpunan sekolah. Apabila aku tiba di tapak perhimpunan aku melihat ada beberapa orang warden asrama yang cukup dikenali di asramaku sedang berbincang sesama mereka. Tidak tahulah apa yang sedang dibincangkan oleh mereka.

    “Man. Ada apa kita kena panggil ni?” tanyaku kepada rakan yang duduk bersebelehan denganku pada ketika itu.

    “Entahlah Mi. Aku pun tak tahu kenapa. Adalah tu budak ni buat hal. Kau tahu lah,” jawab rakanku itu. Aku faham benar dengan jawapan rakanku itu.

    Berdasarkan jawapannya itu, aku sudah boleh mengagakkan bahawa mungkin rakan-rakan lain sama tingkatan yang ada denganku pada waktu telah melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya. Tetapi aku tidak mahu menghukum dan sebenarnya aku reda dan terima sahaja. Batch kami iaitu batch 01 sememangnya terkenal di sekolah kami dengan sifat nakal dan degil kami. Setiap hari pasti ada saja guru-guru yang berkata “Batch kamu ni lah yang paling teruk sepanjang saya mengajar di sekolah ni”. Kata-kata yang langsung tidak membina itu sebenarnya mungkin ada betulnya juga. Aku terasa seperti Batch ini kami sering dipinggirkan dari setiap program menarik yang dianjurkan oleh sekolahku itu.

    Kami tidak pernah berpeluang untuk pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sepanjang zaman persekolahan kami. Ketika kami di tingkatan tiga, hanya pengawas perpustakaan sahaja yang dibenarkan pergi ke pesta buku itu tetapi hanyalah daripada pelajar tingkatan empat dan lima. Setelah kami di tingkatan empat, hanya tingkatan tiga dan lima sahaja yang dibenarkan pergi ke pesta buku itu atas alasan peperiksaan kami sudah dekat walaupun sebenarnya selang mula peperiksaan kami hanya dua tiga hari sahaja bezanya. Akhirnya kami berpeluang untuk pergi ke pesta buku itu sewaktu kami di tingkatan lima (tahun terakhir). Namun, di saat tahun terakhir kami di sekolah itulah pihak sekolah membuat keputusan untuk mengenakan bayaran sebanyak 50 ringgit setiap seorang bagi sesiapa yang mahu berkunjung ke pesta buku tersebut. Oleh itu, sebahagian daripada kami tidak dapat pergi ke pesta buku itu kerana masih banyak kepentingan lain yang memerlukan wang seperti membayar yuran sekolah.

    Aku tiba di tapak perhimpunan itu agak lewat berbanding rakan-rakanku yang lain kerana selepas dikejut oleh jeritan yang menyakitkan telinga sebelumnya itu aku baru teringat yang aku belum lagi menunaikan solat Isyak. Pada malam itu aku tidur di bilikku selepas solat maghrib kerana hari yang agak memenatkan.

    Selang beberapa minit setelah aku sampai di tapak perhimpunan ada sebuah kereta masuk ke dalam kawasan sekolah kami lalu memarkirkan kereta berdekatan dengan tempat warden-warden tadi berkumpul. Aku memandang kereta itu dengan kedua belah keningku terangkat tanda hairan. Setelah beberapa minit memerhatikan kereta itu aku baru sedar -mungkin kerana pada waktu itu agak gelap- bahawa kereta yang memasuki halaman sekolah kami tadi ialah kereta polis. Kemudian keluar dua orang anggota polis dari kereta tersebut. Kedua anggota polis itu berjalan menuju ke arah kami dengan pandangan yang tajam dan serius.

    “Warden kamu yang panggil saya ke sini. Warden kamu kata kamu ni degil sangat tak dengar cakap,” kata salah seorang daripada anggota polis itu.

    “Kamu tahu apa yang kamu dah buat?” tanya seorang lagi anggota polis itu.

    Rupa-rupanya sewaktu aku sedang tidur nyenyak di dalam bilik, rakan-rakanku telah menyalakan mercun merdeka di dalam kawasan sekolah. Itu adalah perkara biasa yang dilakukan sesetengah orang sebagai simbol kebebasan. Mungkin perbuatan rakan-rakanku itu adalah simbol kebebasan mereka setelah habis SPM. Bagi sebahagian daripada kami yang mengambil kertas perdagangan, malam itu adalah malam terakhir mereka di asrama sebelum menjawab kertas perdagangan dan pulang ke rumah pada keesokan harinya. Orang yang menjerit tidak tahu dunia itu pula ialah warden di asrama kami. Dia merupakan warden yang paling tidak disukai dan dibenci oleh kalangan pelajar di sekolah kami. Tetapi aku faham kenapa dia bersikap begitu. Mungkin sejak kebelangan ini dia agak tertekan kerana sibuk menguruskan hal berkaitan asrama di samping sibuk menyiapkan pecutan terakhir bagi peperiksaan besar tingkatan tiga dan tingkatan empat sebelumnya.

    Di asrama sekolah kami ada empat orang warden lelaki tapi aku merasakan dia seorang sahaja yang banyak menjalankan tugas. Dua warden yang lain pula adalah guru-guru bujang yang mungkin pada anggapan aku memerlukan tempat tinggal lalu menawarkan diri untuk menjadi warden yang akhirnya tidaklah nampak begitu efisien menjalankan tanggungjawab sebagai warden asrama. Ketua warden pula merupakan seorang yang sangat baik dan seorang yang sangat memahami pelajarnya. Dulu dia menetap di asrama dan banyak menjalankan tugas asrama namun kini dia telah menetap di luar asrama kerana terpaksa menjaga ibu yang sakit. Sekali sekala dia datang juga meninjau keadaan budak-budak di asrama.

    “Kalau saya tahan kamu semua masuk lokap, bukannya bagi faedah pun pada kami. Menyusahkan sahaja kami dipanggil ke sini,” kata seorang pegawai yang mamakai baju hitam berseluar jeans dengan mata yang terbeliak itu. Begitulah bermulanya bermulalah syarahan daripada kedua-dua pegawai polis itu.

    Pegawai polis itu berpesan bahawa kami sepatutnya menjaga kelakuan kami terutamanya pada waktu-waktu terakhir di alam persekolahan supaya tidak meninggalkan impresi buruk kepada guru-guru kami di sekolah.

    “Saya pun tak tahulah kenapa saya dipanggil ke sini. Nasib baik ustaz tu kawan saya, kalau tak saya buat tak tahu saja.” kata anggota polis yang berseluar jeans itu tadi.

    Selepas kedua-dua anggota polis itu pulang, kami pun pergi menghadap sekumpulan warden asrama yang sedang berbincang –mungkin masalah dunia ketiga- di kawasan hadapan bilik guru.

    “Saya tak tahulah nak kata apa. Saya dah malas nak ambil tahu tentang kamu. Ikutlah suka hati kamulah nak buat apa,” kata warden yang telah menggangku tidurku yang lena itu kepada kami. Kemudian ketua warden pun naik ke atas pentas di tapak perhimpunan itu dengan muka yang merah mencuka. Mungkin dia kecewa dan penat dengan keadaan yang berlaku pada malam itu.

    “Selepas kertas perdagangan esok saya nak kamu semua keluar dari kawasan sekolah ni!” kata ketua warden itu menghalau kami keluar.

    Selepas itu, yang berada dalam fikiranku bukanlah tentang kerisauan untuk menghadap guru bila di sekolah nanti tetapi yang menjadi kerisauanku adalah di manakah aku hendak tidur nanti selepas kertas perdagangan kerana aku ialah pelajar ekonomi yang akan menjawab kertas terakhir SPM iaitu kertas ekonomi tiga hari lagi.

Ulasan

Catatan Popular