Kampung ?

    

   Kampung. Suatu yang sangat asing didengari oleh telingaku yang kecil ini. Jarang sekali aku terdengar kedua ibu bapaku membicarakan tentang kampung. “Abah. Kampung tu Apa?”

            “Kampung? Kampung ni tempat orang balik bercuti.” Jawab ayahku.

            Sejak itu, aku menanti setiap cuti penggal dengan harapan aku dapat pulang ke kampung yang tidak pernah aku jejaki itu.

          Ayahku merupakan seorang ahli perniagaan yang agak berjaya. Setiap hari dia sibuk bekerja demi kehidupan kami sekeluarga. Kadang-kadang ayahku akan pulang apabila sudah larut malam. Ibuku pula bekerja di hospital sebagai penolong pegawai perubatan. Sebagai pekerja kerajaan, ibuku bekerja dari pagi hingga ke waktu petang sahaja. Ianya amat berbeza dengan ayahku.

          Setiap tahun pastinya kita akan menghadapi bulan yang cukup mencabar iaitu bulan Ramadan. Kita harus menahan lapar dari terbit matahari hinggalah terbenam matahari. Apabila bulan syawal sudah berakhir, kita akan menghadapi bulan yang cukup digemari oleh kebanyakan orang Islam iaitu bulan Syawal. Lebih dikenali dengan nama Aidilfitri atau Hari Raya Puasa. Di bulan inilah ramai orang akan mula merancang untuk pulang menyambut hari raya bersama saudara-mara yang lain di kampung.

          Tapi aku tidak pernah merasai pengalaman pulang beraya bersama saudara-mara di kampung. Aku baru berusia 7 tahun, aku tidak pernah bertemu orang yang mereka panggil ‘Atuk’ dan ‘Nenek’. Aku selalu berasa sedih apabila melihat kawasan perumahanku yang tidak ramai orang setiap kali tibanya hari raya Aidilfitri. Aku juga pernah bertanya kepada ibuku tentang perkara ini.

            “Mak, hari raya kita tak balik kampung ke?”

            “Kenapa Ali tanya? Tanya ibu pula.”

            “Ali tengok kawan-kawan Ali semua balik kampung. Kita je tak balik kampung.”

            “Hmm... kamu dah makan? Kalau belum, pergilah ke dapur. Mak masak lauk kegemaran kamu  harini. Mesti kamu suka.” jawab ibuku.

            Walaupun dia tidak menjawab persoalan tapi aku masih gembira kerana dapat menikmati makan yang lazat pada hari itu. Kemudian aku bertanya pula kepada ayahku ketika dia sedang sibuk menikmati kuih di depan televisyen. Dengan nada yang sedikit kuat aku bartanya “Abah, kenapa kita tak balik kampung macam orang lain? Ali tengok kawan-kawan Ali semua balik kampung.”

            “Kampung? Hmm...kamu nak ikut abah keluar kejap tak?”

            “Keluar ikut abah? Ikut pergi mana?”

            “dah sampai nanti kamu tahulah. Kamu ikut je.”

            Akhirnya aku bersetuju untuk mengikuti ayahku walaupun entah di mana lokasinya. Sebelum pergi ibu menyampaikan pesan, “Ali nanti sampaikan salam untuk mak ya”. Kemudian aku meninggalkan perkararangan rumah bersama ayahku sambil cuba mengerti permintaan ibuku sebelumnya.

            Setelah lebih lima belas minit di jalan raya, aku bertanya “Abah, kita nak pergi mana? Lamanya.”

            “Kejap lagi kita sampai.” kata ayahku sambil melihat ke arah jalan di hadapan.

            Sepanjang perjalanan aku teruja melihat pokok-pokok di tepi jalan dan secara tidak sedar ayahku telah memberhentikan kereta. Lalu aku bertanya kepada ayahku, “Kita kat mana Abah? Dah sampai ke?”

            “Aah dah sampai. Sekarang kita dekat kampung nak jumpa nenek dengan atuk. Tapi kita bukan di rumah atuk dan nenek” kata ayahku.

            “Bukan rumah atuk dan nenek? Kalau macam tu sekarang kita kat mana?”

Tanpa menghiraukan pertanyaan ku, ayahku memimpin aku berjalan sambil memegang sebelah tanganku. Di sebalik tembok, aku terlihat banyak batu-batu yang tersusun rapi di atas tanah.

Sambil berjalan aku bertanya, “Abah, mana atuk dengan nenek? Batu-batu ni  apa?”


Sebelum sempat aku menambah pertanyaan, ayahku berhenti berjalan. Kemudian dia berkata, “Kamu tengok ni, Inilah atuk dengan nenek”. Aku memandang sekeliling dengan hairan kerana aku tidak melihat sesiapa di situ.

            “Mana ayah?” tanya aku.

            “Ni batu ni, Kamu nampak tulisan dekat batu tu?”

            “Nampak.”

            “Cuba kamu baca.” pinta ayahku.

            “Ahmad bin Awang. Siapa ni Abah?”

            “Cuba baca yang sebelah pulak.” pinta ayahku lagi.

            “Maimunah binti Nasir.”

            “Mereka berdua nilah atuk dan nenek kamu. Tapi mereka sudah tiada. Batu yang di depan kamu ni ialah batu nisan.” kata ayahku sambil melihat ke arah batu nisan atuk dan nenek.

            “Batu nisan?”

            “Ya batu nisan. Sekarang kita berada dekat kubur atuk dan nenek.” kata ayahku lagi.

            “Kubur...?”

            Aku teringat kembali rakan-rakanku pernah berborak tentang tempat yang disebut kubur itu. Kemudian ayahku membentang tikar lalu mengajak aku duduk bersamanya. Rupa-rupanya dia sudah membawa buku yasin bersamanya. Lalu dia memimpin aku membaca tahlil.

            Setelah selesai aku teringat pesan ibuku yang meminta aku untuk menyampaikan salamnya. Sekarang aku sedar yang salam ibuku itu mungkin ingin disampaikan kepada atuk dan nenek. Aku menyentuh kedua batu nisan atuk dan nenek dan berkata, “Atuk, nenek, mak kirim salam. Ali harap atuk dan nenek akan sentiasa bahagia”. Lalu aku dan ayahku bergerak ke kenderaan untuk pulang ke rumah.

            Sampai di rumah, aku melihat ibuku berdiri di luar rumah. Dia melihatku dengan mata yang kebasahan. Lalu dia berkata, “Ali dah jumpa atuk dengan nenek?”

            “Dah”.

            “Ali tak sedih ke?” tanya ibuku.

            “Sedih, tapi bukan sebab atuk dan nenek dah meninggal. Ali sedih sebab Ali kesian tengok mak dengan abah”.

            “Kesian dengan mak dan abah?” kenapa? tanya ibuku kehairanan.

            “Sebab mak dengan abah tak boleh jumpa atuk dengan nenek dah. Tapi Ali gembira sebab Ali masih boleh jumpa mak dengan abah”.

          Kemudian ayah dan ibuku terus memelukku dengan erat sambil mengalirkan air mata. Aku berasa sangat gembira dan aku sangat berharap harap aku dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh atuk dan nenek dengan menjadi anak yang baik dan bermanfaat kepada ibu dan ayah.

              Apabila ibu dan ayah selesai memeluk aku, ibu bertanya, “Kamu nak makan kuih tak? Mak ada masak semasa kamu tiada tadi. Lalu aku menjawab, “Nak” dengan perasaan yang gembira.

 

Ulasan

Catatan Popular